… dari tegap bertimpuh, baik rebah merempuh.

Terbuka Hati Untuk “Di Talkinkan”

Dalam perkembangan terkini yang berlaku di Penang, saya merasakan bahawa UMNO Penang terlalu terburu-buru dan melatah terhadap kerajaan baru tersebut. Mereka perlu ingat bahawa mood kemenangan Barisan Rakyat masih segar dan berbau harum oleh masyarakat di Penang. Reaksi aggresif yakni berkumpul, menunjukkan amarah secara terbuka ini akan hanya menjadikan rakyat Penang lebih defensif dan lebih dekat dengan kerajaan baru mereka.

UMNO Penang sepatutnya tidak harus lupa bahawa mereka harus berhati-hati dengan kaum Cina di Penang yang telah mengundi DAP. Mereka tidak harus dilihat bermusuhan dengan kaum ini kerana tahun-tahun yang lampau, Cina yang sama jugalah yang telah mengundi MCA dan Gerakan sekaligus menjunjung Barisan Nasional dan UMNO untuk bertakhta di Penang.

Senario UMNO Penang yang berdemonstrasi (media gemar menyifatkan atau memanggilnya sebagai merusuh) juga akan dilihat sebagai sangat terdesak. Ibarat sebuah pasukan bola yang satu ketikanya adalah favourite untuk menang akhirnya terhumban dek gol sendiri. Apabila sudah kalah dan tidak lagi tertanggung malu, kerjanya hanyalah cuba untuk mencari gaduh di dalam dan di luar padang bagi memperlihatkan kononnya mereka masih gagah. 

Ini sebenarnya satu senario yang memualkan bagi sebilangan besar pengundi Melayu Penang yang tidak lagi mengundi UMNO. Jadi, bagaimana mungkin UMNO akan dapat menawan kembali hati orang-orang Melayu sedangkan dalam masa yang sama mereka kononnya baru sahaja bermuhasabah diri untuk “kembali” kepada orang Melayu?

Dalam hal di Penang, saya angkat topi kepada kenyataan media Prowaris kerana tidak bersikap emosional, fokus, terbuka dan berani berhadapan dengan Lim Guan Eng secara gentleman. Ini setidak-tidaknya akan mengangkat kening bagi golongan sasaran Prowaris yang pastinya mengikuti dengan rapat segala tindak tanduk pertubuhan ini selepas Gerakan Pemuda UMNO tidak lagi boleh diharap apatah lagi untuk dibanggakan.

Sehari selepas tewas besar, UMNO dan Barisan Nasional kelihatan seperti berjaya menginsafi dan bermuhasabah diri. Namun pelik, apabila ada peluang tercipta untuk mengkambing hitamkan sesuatu perkara, mereka terus meloncat dan berhisteria seolah-olah dengan cara itu mereka boleh merampas kembali Penang mahupun Perak keesokan harinya.

Perkara yang berlaku di Penang dan Perak dihangatkan lagi dengan diberikan publisiti yang panas dan meluas oleh media. Ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengalih perhatian dari isu dan fokus sebenar iaitu kelemahan dan tewas besar UMNO, MIC dan MCA didalam pilihanraya yang tidak pun lagi sampai hayat seminggu.

Berdasarkan sikap media perdana yang masih tidak mahu berubah dengan cara gaya penyampaian berita yang berunsurkan propaganda lagi berat sebelah, saya sangat yakin, isu-isu mengkambing hitam kan ini akan terus dimain kan apatah lagi jika pertaruhan PM dengan anggota kabinet baru mendapat protes oleh bekas-bekas menteri luput tarikh yang mungkin tidak terpilih.

Persoalan saya, sampai bilakah UMNO, Barisan Nasional, agensi-agensi kerajaan dibawah cengkaman dan media tunggangan mereka mahu berubah? Cukuplah… sudahlah…. dengarlah rintihan rakyat Malaysia dan orang Melayu khususnya. Berubahlah. Revolusikanlah UMNO itu.

Tidak cukupkah dengan Tsunami Politik dan “signal” yang telah diberikan oleh rakyat kepada mereka? Jika mereka terus-terusan mahu memalu gendang mengikut irama lama, berkompang dan menari mengikut resipi yang sama, memekak telinga dan memejam mata, maka sesungguhnya saya yakin adalah tidak mustahil dengan sekali lagi lautan, sembahyang hajat, tawakkal dan doa rakyat – 

“UMNO akan terbuka hati untuk di talkin kan”

delicious | digg | reddit | facebook | technorati | stumbleupon | savetheurl

3 Responses to “Terbuka Hati Untuk “Di Talkinkan””

  1. AKAR SELANGOR says:

    Aku mengambil kesempatan dengan kunjungan abah ke rumah, berdiskusi tentang kejatuhan dramatik UMNO/BN yang masih rancak diperbual di segenap sudut tanah air. Abah segera memberi komen dengan gaya “otai”nya… “Abah dah lama dalam UMNO. Sayang korang semua tak kenal sapa Tun Razak. Kalau Allahyarham tu hidup lagi. Tak jadi macam ni. Dis pergi lebih cepat dari Tunku, bos dia dulu”.

    Abah aku kata, masa Tun Razak memimpin negara, UMNO memang terlalu kuat sebab UMNO jelas mewakili orang kita. Tun Razak pandai berbaik dengan kaum lain. Rakyat sayang dia. Namun Allah lebih sayang kepada beliau. Menurut pemahaman aku, dari apa yang abah ceritakan, Tun Razak meninggal dunia di London selepas menjalani pembedahan di sana. Terdapat juga desas desus yang menyatakan kematian beliau di luar negara mengakibatkan para Perdana Menteri selepasnya tidak menjalani pembedahan diluar negara.

    Pun begitu, dari cerita beliau, sebetulnya UMNO sudah terpesong dari landasan sebenar sejak tahun 70an lagi. Inisiatif yang serius dari individu dan kumpulan tertentu telah akhirnya memberi kesan mendalam kepada rakyat. Mereka sanggup digari, disumbat ke penjara, dilokap, dipulau di pejabat dan seumpamanya demi memberi kesedaran kepada kita semua. Akhirnya, kita, sekelian rakyat tampil merealisasikan kesedaran politik ini semasa PRU 12 seminggu yang lalu.

    Pun begitu, dari gaya abah, beliau tidak bersedia untuk UMNO ditalkinkan. Aku hampir pasti miliki pandangan yang sama seperti beliau.. bukan kerana beliau ini abah aku. Tetapi, disebalik apa juga yang telah dan sedang berlaku, UMNO wajar bangkit dengan jiwa yang besar. Segala kekuatan yang pernah dicerminkan oleh pasukan Allahyarham Tun Razak perlu dizahirkan hari ini.

    Memang benar UMNO sudah tersasar jauh kerana kuasa mengawal mereka, bukan sebaliknya. Memang benar UMNO berada jauh dari landasan asal. Aku malu… Tetapi, tuan-tuan bloggers dan para pembaca, janganlah hanya kerana kehilangan kerusi-kerusi parlimen itu dijadikan ukuran bahawa UMNO sudah wajar dikuburkan. Jangan kerana Pak Lah yang lemah & Tun Mahatir yang zalim, akar umbi yang masih bertenaga ini disia-siakan. Kami mahu melihat UMNO bingkas bangun dan memacu kecemerlangan agama dan bangsa. Ayuh UMNO, kita tahu di mana kita! Kita sudah sedar apa yang sedang berlaku! Kita insafi diri… Dengan berkat kalimah Laila Haillallah, kita ajukan langkah menerpa, bergerak senafas seudara, berdayung kudrat bersama bergema. Bangun!! Terus berjuang!!

  2. Umbut Mayang says:

    setuju dengan penulis, kita bukan hendak mentalkinkan Umno, tetapi kita hanya berdoa untuk mereka terbuka hati agar rela untuk di talkin kan.

  3. melayu segamat says:

    Wahai saudara/i AKAR SELANGOR, terima kasih kerana sudi berkongsi pendapat. Kami di negeri BEKAS kubu kuat UMNO ini pun sudah rela UMNO ditalkinkan. Saudara/i AKAR SELANGOR di negeri PKR-PAS-DAP masih belum bersedia? Apa saudara/i AKAR SELANGOR masih buta dengan apa yg disuarakan? Apa saudara/i AKAR SELANGOR masih berpegang bahawa UMNO masih relevan? Sebenarnya, UMNO tidak perlu bangun dengan “langkah menerpa, bergerak senafas seudara, berdayung kudrat bersama bergema”. Ahli dan penyokong mereka termasuk saudara/i AKAR SELANGOR perlu bersatu di bawah bendera lain – itu sahaja.

    Saya pasti rakan kita ini si saudara/i AKAR SELANGOR, masih hayal dengan sejarah kejaguhan UMNO lebih 30 tahun yang lampau. Maafkan saya, sekadar memberi teguran dan pendapat. Saudara/i AKAR SELANGOR, zaman sudah berubah. UMNO sudah berubah jauh. Tiada jalan pintas dan tiada pula pusingan U buat mereka. Sedarlah.. negeri KUBU saya ini sudah menjadi bekas KUBU. Negeri Selangor pula bakal menjadi KUBU orang lain!

    Yang perlu bangun bukan UMNO, yang perlu menerjah bukan UMNO. Yang perlu bergerak mengikut zaman ialah saudara/i AKAR SELANGOR sendiri. Ayuh sertai kami. Kita bersatu di bawah panji islam, demi kebenaran menuju mardhatillah…

Powered by the people for the people