… dari tegap bertimpuh, baik rebah merempuh.

20 tahun “meraikan” demokrasi, dunia terus melara.

9 November, tarikh yang “dirayai” oleh rakyat German, terutama sekali mereka yang berdekatan dengan Berlin. 9 November, 2009 genap 20 tahun tembok yang terpacak di tengah Berlin dirobohkan. Tembok yang menjadi pemisah antara dua German. German Barat dan German Timur. Dua blok yang bersengketa semasa musim Perang Dingin.

Keruntuhan tembok tersebut memberi harapan yang baru pada dunia. Seolah2, dengan runtuhnya tembok tersebut, perang dingin dan kebebasan demokrasi akan dikecap secara mutlak oleh masyarakat dan rakyat di seluruh alam. Mengekori keruntuhan tembok itu juga ialah terpecahnya empayar Russia yang sekaligus membebaskan blok2 negara di bawahnya dahulu untuk mengecapi “kemerdekaan” masing2.

Dunia tiba2 terasa indah. Harapan setinggi gunung melimpah ruah. Scorpion pun sibuk dengan lagu “Wind of  change”nya. Habih tejuih2 mulut kita besiul mendedendangkan lagu yang menceritakan betapa angin perubahan telah melanda dunia dengan hebatnya.

Ketakutan tentang peperangan senjata nuklear pun semakin hilang selepas era perang dingin. Dunia dirasakan makin selamat. Dalam masa yang sama, kapitalis yang mendominasi demokrasi mentertawakan sosialis sebagai sindiran “kejatuhan” empayar komunis yang didominasi oleh Russia.

Semuanya bermula dengan keruntuhan tembok Berlin. 20 tahun yang lalu.

Itu 20 tahun yang lalu. Fast forward pada tahun 2009, apakah bunga2 harapan yang diimpikan oleh kita telah menjadi kenyataan? Apakah solusi kapitalis dalam demokrasi telah merubah dunia kepada yang lebih baik? Adakah kebobrokan sistem komunis telah menjadikan negara mereka hancur lebur dan hina dina?

Dan yang paling penting, apakah dunia telah aman selepas temboh Berlin dijadikan sisa2 untuk dijual sebagai cenderamata?

Perang di rantau Balkan tiba2 meletus selepas Russia “memerdekakan” negara2 di bawah tirai besinya. Bosnia dan Serbia macam anjing dan kucing. Amerika juga dengan lebih berani melebarkan sayapnya ke Timur Tengah dengan menaja perang antara Kuwait dan Iraq. Dan sekarang, makin galak menaja perang gila di Afghanistan dan Iraq serta tak habis2 mengganggu negara2 lain yang, bagi mereka, masih enggan menggunakan “demokrasi” sebagai satu cara hidup.

Seperti kata bekas orang kuat parestroika Russia, Mikhail Gorbachev, perang dingin yang telah berjaya dipadamkan selepas runtuhnya tembok Berlin, memadamkan bersama ketakutan terhadap meletusnya perang nuklear di antara kuasa2 besar pada masa itu. Tetapi senjata nuklear tersebut telah berubah kepada “senjata nuklear peribadi” yang menghasilkan pengebom2 berani mati hasil daripada tekanan dan kesempitan hidup di negera2 yang ditekan oleh “demokrasi kapitalis yang korup”.

Gorbachev dalam sindirannya pada barat, mengatakan bahawa kebebasan yang diimpikan selepas runtuhnya tembok Berlin sehingga sekarang tidak kunjung tiba. Aku setuju dengannya. Malah, tanpa kuasa pengimbang yang dahulunya diwakili oleh blok komunis Russia, dunia menjadi semakin huru hara dan hilang punca. Dan menjadi semakin parah bila Amerika mencatur demokrasi dunia di bawah kapitalis gila bernama George W. Bush atas nama “keamanan”!

Kapitalis dan sosialis

Semasa sidang aku di German pada penghujung Oktober lalu, aku pernah bangkitkan persoalan tentang sistem demokrasi tempang yang dihuhakan oleh dunia sekarang ini dalam satu kumpulan diskusi kecil yang terdiri daripada pelbagai negara. Lebih kepada sindiran, aku bertanyakan bahawa apakah demokrasi yang dijaja oleh kapitalis barat selepas runtuhnya tembok Berlin menjadikan dunia lebih baik daripada yang ada sebelumnya? Kapitalis mengejek sosialis selepas “wind of change” melanda blok Eropah dan Russia. Kata mereka, sosialis akan gagal, dan kapitalis adalah masa depan dunia untuk hidup dengan lebih aman dan selesa.

Sudah tentu soalan sinis aku dijawab semula dengan jawapan yang sinis. Aku dicontohkan dengan Cuba, China, dan Russia. Paling ramai menekankan bahawa China, negara sosialis di bawah jajahan komunis, walaupun kaya, tetapi rakyat mereka lebih susah daripada Amerika. Lebih susah daripada Malaysia berdasarkan pendapatan isi rumah setiap rakyat. Rakyat China ramai yang merempat. Ramai yang susah. Ramai yang hidup dalam keadaan mundur. Pendek kata, tiada apa yang boleh dimegahkan oleh China jika kita melihat pada rakyatnya.

Ya, aku setuju. Tetapi berapa ramai yang meletupkan diri mereka dalam bas, dalam keretapi, dalam pasar ikan, atau tepi sekolah semata2 marahkan China, atau Cuba? Berapa ramai yang memijak2 bendera negara China semata2 tidak puas hati dengan tekanan yang diberikan oleh China ke atas negara mereka? Berapa ramai pemimpin2 politik negara2 dunia ketiga yang menggunakan skrip dan idea murahan menaikkan semangat nasionalis dengan menjadikan China dan Cuba sebagai musuh negara?

Berapa ramai rakyat China dan Cuba yang jatuh muflis dek kerana krisis sub-prima, atau mati bunuh diri dek kerana ditipu Madoff?

Aku bukan anti kapitalis. Aku jugak bukan pro-sosialis. Aku cuma nak sampaikan bahawa sebelum dan selepas tembok Berlin runtuh, dunia masih di petak yang sama. Malah mungkin lebih teruk. Demokrasi yang diamalkan, yang dijaja oleh blok Barat nampaknya tidak membawa perubahan yang lebih baik. Malah, lebih banyak negara yang berperang, dan makin banyak negara yang merempat selepas runtuhnya tembok Berlin. Ironi, bukan?

Demokrasi yang nazak

Suara demokrasi adalah suara isi hati rakyat. Suara yang dipersetujui bersama. Suara yang sepatutnya menjadi pemandu kepada halatuju sesebuah masyarakat dan negara berdasarkan kepada kehendak majoriti TANPA mengabaikan kepentingan minoriti. Majoriti sepatutnya terus boleh bersuara tanpa menyakiti golongan minoriti, tanpa menindas mereka. Majoriti sepatutnya menjaga kebajikan dan kepentingan minoriti. Itu adalah pahaman demokrasi untuk aku, yang tidak berkursus di mana2 sekolah politik.

Tetapi jika kuasa majoriti itu boleh dipengaruhi oleh kapitalis jumud, maka sistem demokrasi itu sendiri dah tak bererti. Seolah2 golongan minoriti yang menguasi kehendak yang diberi oleh majoriti. Akhirnya majoriti yang mengangkat demokrasi, yang memilih untuk hidup di atas landasan demokrasi, dipinggirkan atas nama “kepentingan ekonomi dan kelansungan hidup” oleh para tuan boneka yang memiliki wang yang banyak dan menguasai parti2 politik, dan tokoh2 politik.

Kita mungkin terkejut di sini kalau ada ahli parlimen dari golongan Pakatan Rakyat yang boleh menjadi ahli kabinet berstatus menteri dalam kerajaan Barisan Nasional. Tetapi ini bukanlah satu perkara mustahil di negara2 yang korupsinya melambung atas nama demokrasi. Moldova adalah satu contoh terbaik di mana ada ahli politik pembangkang menjadi timbalan menteri dalam kerajaan. Sekali tengok, ianya satu sistem “demokrasi yang sihat”, bila tengok lebih detail, mereka sanggup lakukan apa saja asalkan ada wang yang dilandaskan.

Di negara2 Balkan yang baru mengecapi “kemerdekaan” oleh Russia hasil daripada tumbangnya tembok Berlin, rata2 tokoh politik, presiden, bakal presiden, dan parti2 politik tidak segan silu membuka pintu mereka untuk ditaja dan dilobi oleh kapitalis. Malah ianya bukan satu rahsia, dan tidak menjadi satu isu kepada sesiapa. Amerika telah bergelumang dengan perkara ini sejak azali lagi.

Di Malaysia pula, ianya seakan2 mula untuk berakar. Walaupun masih dilihat sebagai satu perkara yang jijik, tetapi kita tidak boleh menolak bahawa kapitalis ini akan terus memastikan harta benda mereka terbela dan terus subur dan dijaga dengan rapi oleh bakal pemimpin negara. Sekarang, mungkin hanya melalui dasar2 yang menyebelahi mereka, mungkin sedikit masa lagi, ahli politik kita tidak segan silu untuk memakai lencana syarikat2 koperat dan mengangkat sepanduk2 yang dibawahnya tertera logo tajaan!

Ianya bagai satu mimpi ngeri. Tetapi jalan untuk ke arah itu tidak pernah nampak muram.

20 tahun

Selepas 20 tahun runtuhnya tembok Berlin, dunia masih lagi bergoncang. Walaupun tanpa peluru nuklear dan perang dunia, tetapi hidup lebih menakutkan dengan siri pengeboman oleh “nuklear2 kecil” yang terdiri dari pengebom berani mati. Amerika terus membuli negara2 lemah dan memaksa demokrasi kapitalis ke atas negara2 miskin yang mempunyai hasil bumi yang melimpah ruah.

Selepas 20 tahun runtuhnya tembok Berlin, kapitalis yang dahulunya mengejek sosialis dengan pemerintahanan komunis sekarang terpaksa membawa tempurung melutut di hadapan China yang rakyatnya dikatakan lebih susah dari mereka. Cuba yang digelakkan oleh Amerika dengan menghina dan menekan Fidel Castro, sekarang cuba meniru sistem kesihatan negara komunis tersebut. Afghanistan yang dibangga2kan oleh Amerika sebab berjaya membantu negara tersebut menghalau komunis Russia, kini terjerat dalam taburan jerangkap samar dan tembakan RPG tajaan mereka sendiri.

Selepas 20 tahun runtuhnya tembok Berlin, korupsi semakin meningkat, penyelewengan penguasa semakin berleluasa, rakyat terpinggir semakin ditindas atas nama untung dan rugi, lapisan ozon semakin menipis, dan suhu dunia masih terus meningkat atas nama kemajuan teknologi.

Jasad tembok Berlin telah ditumbangkan pada 9 November, 20 tahun yang lalu. Tetapi roh tembok itu semakin menebal di dalam pemikiran kita. Selama 20 tahun, kita kembali membina tembok Berlin di dalam pemikiran melalui rasisme, sistem ekonomi kapitalis yang membezakan antara miskin dan kaya, undang2 yang menghalang pengetahuan bergerak bebas dan lancar, rasa elit pimpinan yang sombong dan bongkak. Kita membina tembok Berlin baru dalam sistem perundangan dan politik demi untuk memastikan bahawa rakyat dan penguasa terus terpisah. Pintu2 kecil hanya dibuka kepada kapitalis, iaitu mereka yang boleh membawa keuntungan segera kepada penguasa.

Selepas 20 tahun, demokrasi masih gagal memisahkan dirinya daripada pengaruh kapitalis gila. Mungkin aku salah, atau mungkin aku betul. Yang pastinya, kos sara hidup aku tak pernah menurun. Dan ianya tak mungkin meningkat seteruk ini jika tiada taukey2 besar yang membisikkan keuntungan lumayan pada telinga2 pemerintah di Malaysia.

matkeri
http://www.jahilgoblog.net.

delicious | digg | reddit | facebook | technorati | stumbleupon | savetheurl

Comments are closed.

Powered by the people for the people