… dari tegap bertimpuh, baik rebah merempuh.

10 NOVEMBER : GELOMBANG KUNING KEDAULATAN DAN KEAMANAN

AMARAN OLEH RAKYAT MALAYSIA :


Ini adalah satu perhimpunan aman rakyat Malaysia yang selaras dengan kehendak Artikel Perlembagaan Malaysia. Kekacauan, provokasi dan lain-lain bentuk keganasan daripada mana-mana pihak adalah dilarang sama sekali. Semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyertainya tanpa rasa takut daripada ugutan atau ancaman daripada mana –mana pihak.

Untuk menyemarakkan lagi Gelombang Kuning 10 November di sini ada beberapa cadangan kreatif dan inovatif :

Semua kenderaan di seluruh Malaysia hendaklah menyalakan lampu secara serentak di seluruh jalan-jalan di Malaysia bermula jam 03.00 petang sehingga jam 05.00 petang. Ini sebagai satu tanda sokongan moral kepada gerakan massa gelombang kuning ini.

Kepada yang mempunyai peralatan seperti kamera digital, Videocam, handphone 3G dan lain-lain yang menyertai perhimpunan ini rakamkan keseluruhan acara ini dan jika boleh siarkan secara langsung ke internet atau kepada rakan-rakan anda di seluruh dunia.

Kepada para peserta yang akan berhimpun kepada yang beragama Islam hendaklah melakukan solat taubat dan hajat semoga perhimpunan ini berjaya dan berjalan secara aman. Laksanakan bermula sekarang sehingga 10 November.

Hantar SMS atau MMS untuk menyatakan acara ini kepada rakan-rakan anda di seluruh negara. Ini kerana jumlah rakyat Malaysia yang menggunakan handphone mencecah 14 juta.

Anggota Tentera Malaysia dialu-alukan untuk bersama-sama rakyat menyertai perhimpunan ini tanda sokongan dan taat setia kepada Yang DiPertuan Agong. Pakai lilit lengan berwarna kuning.

Apa sahaja yang berwarna kuning hendaklah menjadi warna tema pada 10 November. Kuning akan menjadi warna rasmi pada 10 November pada hari itu di seluruh negara. Premis-premis perniagaan,rumah kediaman atau lain-lain kibarkan kain, kertas berwarna kuning di hadapan rumah.

Semua pendukung Barisan Alternatif hendaklah menggerakkan semua anggota jentera pilihanraya ke Kuala Lumpur dalam menggembeling kekuatan perhimpunan ini.

Untuk para peserta luar daripada Lembah Klang disarankan datang lebih awal untuk mengelakkan sebarang sekatan akan dijalankan pada waktu tersebut.

Disarankan kepada semua peserta beragama Islam supaya menjaga solat. Laksanakan solat berjemaah di Masjid-masjid di sekitar Kuala Lumpur dan berdoa akan keselamatan semua para peserta perhimpunan ini dan semoga ia berjalan secara aman. Pastikan juga para peserta dalam keadaan berwuduk.

Malahan kepada para peserta juga digalakkan makan dahulu sebelum datang atau puasa untuk mengelakkan kita berasa lapar dan mudah marah kerana ditakuti akan ada provokasi daripada anasir luar.

Semasa berhadapan dengan FRU atau anggota Polis kelak banyak-banyak baca Surah Al-Ikhlas dan zikir kepada Allah semoga anggota polis dan FRU akan bersama-sama rakyat dalam perhimpunan ini.

Agensi-agensi berita antarabangsa perlu dijemput seramai mungkin pada 10 November tersebut dan siarkan secara langsung ke seluruh dunia jika pihak keselamatan bertindak ganas ia akan disaksikan di seluruh dunia secara ‘real time’.Letakkan mereka di barisan hadapan dan tempat-tempat strategik untuk mendapatkan sudut rakaman terbaik.

Anggota polis disarankan memakai baju uniform rasmi dan lilit tangan berwarna kuning untuk mengelakkan sebarang kejadian provokasi daripada mana-mana pihak yang akan cuba mengganggu perhimpunan secara aman ini.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 ini para pelancong asing perlu melihat acara ini secara langsung kerana perhimpunan ini cukup unik dan jarang-jarang diadakan. Pelancong asing boleh melihat bagaimana pasukan polis melaksanakan tugas besar ini dengan baik dan professionalisma.

Untuk lebih menyerikan perhimpunan ini anggaplah ia sebagai satu rumah terbuka aidilfitri rakyat . Pakai baju melayu siap bersampin dan songkok. Adalah mustahil untuk timbul kekacauan jika kita datang dengan suasana harmoni meraikan aidilfitri.

Adakan juga perhimpunan ini serentak di seluruh dunia di hadapan kedutaan asing Malaysia seperti di Washington, London, Paris, Tokyo, Beijing, Jakarta, Bangkok dan lain-lain. Pastikan ia mendapat liputan antarabangsa dan menjadi berita utama pada hari itu.

Bawa pasukan kompang / pancaragam untuk sama-sama menyerikan perhimpunan aman ini.

Para peserta perhimpunan aman ini disarankan supaya berdisiplin, lemparkan senyuman, elakkan suasana tegang, sentiasa berzikir. Kita perlu kuasai suasana aman pada ketika itu sehingga akhir.

Bawa jambangan bunga kuning dan berikan kepada semua anggota keselamatan yang berkawal pada hari tersebut.

Kesemua kerabat diraja, Sultan-Sultan Melayu perlu dijemput sama untuk mencemar duli pada hari itu. Kehadiran Baginda-baginda Sultan bersama kerabatnya sudah pasti akan membawa mesej jelas terhadap perubahan yang perlu dilakukan di negara ini.

Para perwakilan asing daripada seluruh dunia juga dijemput hadir melihat bahawa perhimpunan ini adalah perhimpunan aman. Pihak kedutaan asing di Malaysia juga perlu berada dalam perhimpunan ini untuk membuat laporan yang tepat dan jelas.

SELAMAT BERHIMPUN SECARA AMAN

Oleh :

Mohd Ezli Mashut ( LL.B Hons) UIAM

ezli007@hotmail.com

delicious | digg | reddit | facebook | technorati | stumbleupon | savetheurl

One Response to “10 NOVEMBER : GELOMBANG KUNING KEDAULATAN DAN KEAMANAN”

  1. mawaddah says:

    Insyaallah kita beramai-ramai ke sana nanti….
    Masih ramai yg belum tahu ttg program pada hari tersebut jika dapat disebarkan secara meluas lagi bagus..supaya matlamat dan objektif sebenar tercapai dan kita beramai-ramai ke sana dalam keadaan aman..

Powered by the people for the people